Wednesday, May 20, 2009

Blog

Sekadarnya, blog ini hanya untuk memaparkan kisah-kisah kehidupan buat hiburan, kenangan, pendapat, cerita mahupun panduan. Pastinya, banyak kisah-kisah menarik di dalam hidup kita untuk dikongsi buat semua.

Untuk permulaan, saya ingin mengutarakan kisah internet iaitu blog yang kini menjadi kegilaan masyarakat. Blog amat mudah dan percuma untuk semua. Blog boleh dikatakan ada sebahagian daripada hidup kita masa kini. Ia juga dikatakan sebagai media alternatif kepada media perdana. Ia menjadi begitu penting kerana peranan media yang dianggap sebagai "the fourth estate". Kandungannya boleh jadi picisan (seperti blog ini!) atau yang mengulas atau membicarakan isu semasa yang sensasi seperti politik dan ekonomi. Usah dikira jugalah, blog-blog l*c*h yang tidak terkira.

Di Malaysia, blog semakin popular apatah lagi selepas PRU12 kerana dikatakan diantara sebab kegagalan BN. BN terlalu lambat menggunakan teknologi dan lembab dalam memberi penerangan kepada rakyat akan isu-isu yang dibangkitkan oleh penyokong. Siapa tak kenal Raja Petra yang banyak menulis mengenai PM (ketika itu TPM). Begitu juga, ratusan atau mungkin ribuan penyokong PR yang menulis blog dan seterusnya menyebarkan fahaman mereka kepada rakyat jelata terutamanya golongan muda.

Golongan muda sememangnya bijak menggunakan internet untuk mendapatkan maklumat dan blogger PR bijak mengambil kesempatan ini sebaik mungkin. Maka tidak hairanlah BN terus terkapai-kapai sehingga kini. Tidak ada satupun blog BN yang dapat menandingi blog PR kecuali oleh mantan PM, Tun Mahathir.

Orang politik pun cuba menulis blog yang bertujuan untuk memberi pendapat dan membahaskan isu semasa.Walaubagaimanapun, keputusan akhir tetap di tangan rakyat sama ada betul atau tidak dakwaan atau isu yang diketengahkan oleh blogger. Ingatlah firman Allah, ayat 6 surah Al-Hujurat yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu(mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan

Pernah juga saya terdengar mengenai sebuah blog mengenai cinta sejenis yang pernah mencetuskan kontroversi pada suatu ketika. Kononya, mengenai cinta dua askar yang begitu indah dan romantis. Blog itu menerima ribuan hits dan komen yang pedas-pedas daripada pengunjung. Akhirnya, ia ditutup dan senyap. Mungkinkan ia hanyalah bahan untuk memalukan kedua-dua askar itu disebabkan sifat blog dan internet yang bebas!

Banyak lagi blog-blog yang entah apa-apa didalam internet ini. Tak perlulah diulas blog politik melampau, perkauman dan hal-hal yang terlalu sensitif. Carilah saja. jika mahu. Semuanya terpulang kepada kita untuk menilainya. Bagi penulis blog pula, haruslah peluang ini digunakan sebaik mungkin untuk kesejahteraan semua dan bukan untuk kepentingan puak semata-mata. Kita semua akan disoal mengenai semua yang kita lakukan...!

No comments:

Post a Comment

Berikan pendapat dan cerita asalkan tidak menyentuh perkara sensitif. Terima kasih.